SEREMBAN 29 Nov. – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil pendekatan yang sama dengan kerajaan persekutuan dalam menangani isu kuil haram di negeri ini.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata oleh itu, kerajaan negeri akan menggunakan garis panduan yang digunapakai kerajaan persekutuan dalam perkara tersebut.
“Di Negeri Sembilan ada kuil-kuil ini yang telah digazetkan (diwartakan) dan ada juga yang belum digazetkan. Jadi, kita cuba memperbaiki keadaan ini supaya tidak berlaku lagi perkara seperti mana yang berlaku insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Isnin lepas.
“Sebelum ini kerajaan negeri telah meminta rumah-rumah ibadat di negeri ini diwartakan supaya mudah bagi kita membuat pemantauan dan kawalan.
Sebab itu kerajaan negeri mewujudkan jawatan Exco yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Bukan Islam di mana tujuannya adalah untuk memastikan tempat-tempat ibadat bukan Islam didaftarkan dan dikawal mengikut peraturan yang ditetapkan. Apa yang penting ialah memastikan tempat ibadat ini berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata memang tidak dinafikan kuil-kuil haram ini terdapat di rizab sungai dan jalan serta di tanah persendirian, di bawah talian elektrik dan juga estet.
“Kita harap isu insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya tidak merebak ke negeri-negeri lain. Jadi, kita minta perkara ini diputuskan dengan cara baik dan mengikut prosidur. Kita minta perkara ini tidak dijadikan isu dan permasalahan.
“Kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya itu sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak bertolak ansur dan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.
Aminuddin berkata kerajaan negeri telah meminta pihak polis agar memberi perhatian utama dan memantau dalam isu tempat-tempat ibadat ini supaya sensitiviti kaum itu dapat dikawal.
Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu telah menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pegawai bomba Mohd Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.
Kejadian itu juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kemusnahan beberapa buah kenderaan dan premis perniagaan serta gangguan kepada ketenteraman awam.
Sehingga hari ini, seramai 30 individu telah ditahan polis untuk siasatan. – BERNAMA










