KUALA LUMPUR 15 Nov. – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengatakan tidak kepada Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketegasan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menamatkan persoalan mengenai pendirian beliau terhadap konvensyen antarabangsa tersebut memandangkan Mohamed Nazri dilihat banyak pihak sebagai seorang pemimpin Melayu yang agak ‘liberal’ dalam isu berkaitan kaum serta agama.
“ICERD tidak boleh. Saya tolak dari awal lagi.
“Saya sebagai Melayu beragama Islam dan tidak pernah persoal hak-hak orang lain, bolehkah saya terima kalau hak-hak saya dikatakan harus dihapus kerana diskriminasi? Jawapannya tidak,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bersama-sama dengan Pas untuk berhimpun membantah ICERD sekiranya kerajaan masih dengan komitmen meratifikasi konvensyen antarabangsa itu, Mohamed Nazri memberitahu tindakan itu tidak semestinya diikuti.
“Tidak semestinya kita akan ikut himpunan bantahan itu kalau kita tidak bersetuju. Tetapi kalau Pas nak lakukan, itulah hak mereka,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE










