BERMULA gandingan di pentas program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua pada April lalu telah memberi cetusan idea buat juaranya, Fitri Haris untuk memilih Lan Solo untuk menjayakan Konsert Dua Dunia.
Konsert yang bakal berlangsung di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 14 Disember itu menjanjikan keunikan dua genre berbeza daripada mereka.
Fitri yang merupakan bekas kumpulan UNIC memberitahu, tiada yang mustahil untuk persembahan yang akan disajikan kepada penonton walaupun dia sinonim dengan lagu berunsur ketuhanan, manakala Lan pula dengan genre rock.
“Saya pernah berduet dengan Lan sewaktu GGV2 menerusi lagu Hati Emas, nyanyian asal oleh Datuk M. Nasir.
“Rentetan kolaborasi itu, kami mulai rapat dan kebetulan selepas berakhirnya program GGV2 saya memang memasang niat ingin mengadakan konsert jelajah satu tanah air.
“Kebetulan pihak USM memberi kerjasama yang sangat baik untuk menawarkan tempat yang boleh dipenuhi seramai 1,500 penonton, maka saya fikir lebih baik saya gunakan peluang itu dengan mengadakan sebuah persembahan berskala besar,” kongsinya.
Pada masa sama, Fitri juga mengakui, walaupun dia sering tampil dengan lagu-lagu berunsurkan kerohanian dan ketuhanan, namun dia juga meminati muzik rock.
Malah sewaktu awal kemunculannya bersama-sama UNIC dan sehingga hari ini, dia masih meminati kekuatan vokal rock yang dimiliki bekas penyanyi kumpulan Kristal itu.
“Saya sama seperti peminat lain yang meminati seseorang penyanyi. Saya pun membesar dengan lagu-lagu rock.
“Selain nasyid, vokal saya juga sesuai menyanyikan lagu berentak rock. Itu salah satu faktor mengapa saya memilih Lan untuk berkolaborasi dengan saya.
“Kami nak cuba pecahkan tembok ketakutan atau persepsi ‘tidak kena’ antara dua genre ini dan buktikan bahawa gabungan ini sebenarnya padan untuk beraksi di pentas yang sama,” katanya.
Mengimpikan untuk menjayakan sebuah konsert setelah 17 tahun aktif dalam industri seni, Fitri berkata, strategi itu turut mendapat persetujuan Lan dan berharap mereka dapat mengumpulkan para peminat di utara tanah air pada satu hari.
“Saya lihat dengan penganjuran konsert yang berbeza aliran muzik seperti ini sebenarnya memberi banyak kelebihan.
“Sudah tentu yang hadir pada konsert itu nanti adalah peminat saya dan peminat Lan. Mungkin peminat Lan yang tak mengenali siapa Fitri Haris, akan kenal saya secara tidak langsung.
“Sama jugalah halnya dengan Lan. Jadi kami boleh gunakan peluang ini untuk mengumpul lebih ramai peminat,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Konsert Dua Dunia baru-baru ini.
…………………………………………………….
Gambar AMIN FARIJ HASSAN
Sementara itu, penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela ini tidak pernah membayangkan akan melibatkan diri dalam konsert yang mengetengahkan konsep dua muzik berbeza.
Malah sebagai anak seni yang sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri tempatan, ini merupakan kali pertama Lan Solo mengambil bahagian dalam konsert yang sememangnya berbeza dan belum pernah dilakukan penyanyi lain.
“Saya memang langsung tak pernah terfikir untuk menjayakan konsert begini. Ini satu idea yang di luar kotak pemikiran.
“Selepas diteliti, ada bagusnya saya sambut pelawaan Fitri kerana kenapa tidak saya mencuba? Konsep ini memang sangat baharu untuk saya. Saya berterima kasih kepada Fitri kerana berbesar hati memilih saya untuk berkongsi pentas dengannya.
“Harapan saya agar penggemar muzik rock hadir beramai-ramai memeriahkan konsert kami. Begitu juga kepada pencinta muzik ketuhanan.
“Kami akan cuba mencari titik persamaan menuju ke arah satu (tujuan),” ujar Lan.
Istimewanya konsert itu nanti, sebahagian hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada Persatuan Anak-Anak Sumbing (Clapam).
Memiliki anak yang dilahirkan sumbing membuatkan Lan berasa lebih dekat dengan Clapam dan berbesar hati untuk menjayakan konsert tersebut bagi memberi sumbangan kepada anak-anak yang senasib dengan cahaya matanya.
“Kami sudah berbincang dan akan menyalurkan dana daripada sebahagian jualan tiket kepada Clapam. Cuma saya tidak dapat memastikan berapa peratus akan diberikan memandangkan belum ada kata putus.
“Ini antara usaha kecil saya buat persatuan ini. Anak bongsu saya, Nur Amna Quxandra dilahirkan sumbing dan dari situlah saya mula kenal Clapam dan berhasrat untuk membantu yang terdaya,” katanya.










