MARAN 24 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ditipu oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam urusan perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kata beliau, jawapannya dalam satu temuramah berkenaan baru-baru ini telah disalah tafsir oleh sebuah portal berita.
“Kenyataan saya telah dikilas oleh portal tertentu, sebenarnya saya tidak kata ditipu oleh Jho Low. Saya kata kalaulah terbukti nanti maknanya kita telah ditipu.

“Saya tidak pernah menafikan bahawa saya tidak mengenali beliau, saya kata saya kenal secara profesional dan kita gunakan beliau dalam urusan hubungan kita dengan Arab Saudi khususnya untuk pelaburan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama beliau di Dewan UMNO Pekan Tajau di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam dan Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada ahli UMNO Bahagian Maran dan orang awam menghadiri majlis tersebut.
Sementara itu, Najib percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengharamkan UMNO walaupun mereka mempunyai kuasa untuk melakukannya.
Katanya, UMNO secara asasnya tidak melakukan sebarang kesalahan besar dan tindakan mengharamkan UMNO hanya akan mendatangkan masalah kepada mereka. – UTUSAN ONLINE










