KUALA LUMPUR 23 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa mengarahkan laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disediakan oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang, dipinda.
Menurut sumber, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas Perdana Menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.
Pindaan itu, tambah sumber berkenaan, difahamkan dibuat dalam satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri bersama Ambrin yang dikatakan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; dan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Tan Sri Shukri Mohd. Salleh.

Utusan diberitahu Ketua Audit Negara sekarang, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad telah membentangkan laporan asal 1MDB tersebut kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Madinah dijangka membentangkan laporan asal kepada Kabinet dalam masa terdekat dan seterusnya dalam prosiding siasatan 1MDB oleh PAC pada awal bulan depan.
Sumber itu memberitahu, laporan asal mendedahkan Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB.
Sehubungan itu, sumber tersebut mendakwa, adalah pelik jika bekas Perdana Menteri dalam wawancara bersama Sinar Harian semalam hanya mengakui ditipu oleh Jho Low berdasarkan perkembangan terbaharu.
Sumber menambah, pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dalam mesyuarat meminda laporan asal berkaitan juga perlu tampil memberikan penjelasan kerana ia melibatkan integriti dan kepentingan negara.
Pada 30 Oktober lalu, Ambrin yang kini mempengerusikan jawatankuasa siasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan bagaimanapun menafikan pindaan dibuat terhadap laporan asal 1MDB yang disediakan oleh beliau.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Poh yang mendakwa laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB telah dipinda atas arahan individu tertentu.
Kah Poh semasa membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu mendakwa pindaan telah dibuat semasa kerajaan terdahulu, dan menurutnya beberapa agensi termasuk SPRM, Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara turut ‘dilumpuhkan’ untuk menyiasat isu berkenaan ketika itu.
PAC dijadualkan memanggil Ambrin dalam prosiding siasatan 1MDB tetapi kemudian ditangguhkan. Prosiding itu dijadualkan semula pada 4, 5 dan 6 Disember ini setelah PAC mendapatkan nasihat Peguam Negara.
Pada 2016, laporan audit yang dilakukan terhadap 1MDB telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi, dibatalkan pada 15 Mei lalu.
Ambrin yang dihubungi enggan mengulas sementara Madinah, Ali Hamsa dan Shukri Mohd. Salleh tidak dapat dihubungi.











