KUALA LUMPUR 29 Nov. – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang cedera parah dalam kejadian rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini sedang dijaga rapi oleh sekumpulan pakar terbaik di negara ini.
Jaminan itu diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad setelah selesai melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, keadaan Muhammad Adib juga semakin baik dan beliau meminta seluruh rakyat Malaysia supaya terus mendoakan kesihatannya.
“Saya difahamkan keadaan Muhammad Adib menunjukkan peningkatan yang baik.
“Beliau bersama dengan pasukan yang sangat intensif, bersama pakar-pakar seperti pakar kardiologi, pakar bedah toraks dan lain-lain serta para jururawat yang sangat berkemahiran,” katanya dalam sidang akhbar di lobi IJN, di sini.
Mengulas tentang kemungkinan Kementerian Kesihatan mengeluarkan laporan perubatan untuk menjawab spekulasi punca kecederaan Muhammad Adib, Dzulkefly berkata beliau tidak dapat memberi kepastian dan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak yang berautoriti.
Beliau turut berpesan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan pelbagai telahan yang boleh mengelirukan.
“Kalau kita benar-benar mahu membantu, kurangkan penularan berita-berita sebegini (spekulasi) dan dengar kepada pihak yang berwajib,” katanya. – UTUSAN ONLINE










