LONDON 24 Nov. – Jose Mourinho percaya dia mampu memimpin Manchester United untuk menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum hujung tahun ini.
United ketinggalan tujuh mata di belakang Tottenham yang menduduki tempat keempat namun masih mempunyai baki lapan perlawanan dalam tangan termasuk lima daripadanya beraksi di Old Trafford.
Red Devils akan melayan kunjungan Crystal Palace di laman sendiri 11 malam ini (waktu Malaysia) dan Mourinho menegaskan mereka mampu menghambat kedudukan empat pasukan teratas.
“Saya tahu jurang perbezaan mata besar namun saya juga tahu sehingga hujung Disember ini, jika saya tidak silap kami ada lapan perlawanan liga.
“Lapan perlawanan liga dan kita bercakap mengenai 24 mata untuk kami mendapatkannya dan satu lagi menempatkan diri dalam empat pasukan teratas namun saya percaya kami mampu melakukannya,” kata Mourinho. – AGENSI











