Miliki lebih RM1.4 juta wang palsu - Utusan Malaysia

Miliki lebih RM1.4 juta wang palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Lima sekawan termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memiliki wang kertas palsu bernilai lebih RM1.4 juta tahun lalu.

Tertuduh, Azuan Miswadi Abdullah, 38, Khairul Anuar Parull, 33, Zulfikar Abd. Rahman, 32, Izzaitie Aqma Johari, 24, dan Nor­suhaila Abd. Mutalib, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 3,464 keping wang kertas palsu dolar Amerika Syarikat (AS) AS$100 bernilai kira-kira RM1.45 juta dan 136 keping wang palsu RM100 bernilai RM13,600 dengan niat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam, 27 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor­shazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan bersalah.

Mahkamah membenarkan Khairul Anuar, Zulfikar dan Norsuhaila diikat jamin sebanyak RM12,000 setiap seorang dengan dua penjamin manakala Azuan Miswadi dan Izzaitie Aqma tidak dibenarkan berbuat demikian kerana sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Seremban dan Penjara Kajang, Selangor berkaitan kes dadah.

Begitupun, ketiga-tiga tertuduh terbabit gagal menjelaskan bayaran ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. Kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Ramesh kemudian menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh se­butan semula kes.

Kosmo! pada 29 Disember tahun lalu melaporkan, polis Negeri Sembilan menemui wang kertas palsu tersebut selepas menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan markas pengedaran dadah di Kampung Jijan Tengah.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, selain wang palsu, polis merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 10.91 gram bernilai RM1,300 dan menahan kelima-lima suspek di rumah berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×