MIDA rekod pelaburan hijau RM4.1b - Utusan Malaysia

MIDA rekod pelaburan hijau RM4.1b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan 111 projek perniagaan berpotensi bernilai RM4.1 bilion daripada penyertaannya di Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM 2018) kesembilan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, daripada jumlah itu, RM3.7 bilion adalah dalam sektor perkhidmatan manakala selebihnya dalam projek pembuatan.

“Kami gembira untuk berkongsi bahawa daripada jumlah itu, MIDA memperoleh 18 projek dengan pelaburan sebanyak RM557 juta terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui daripada solar dan biogas, kecekapan tenaga, bangunan hijau dan perkhidmatan hijau,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Potensi pelaburan RM4.1 bilion itu merupakan penurunan daripada RM5.19 juta yang dicatatkan pada IGEM tahun lepas.

Azman berkata, MIDA yang merupakan rakan kongsi strategik IGEM 2018, terlibat dalam pelbagai program termasuk perundingan perniagaan, empat sesi Pocket Talks, forum mengenai pembiayaan hijau, dialog industri kewangan dan sesi pendengaran awam mengenai kecekapan tenaga.

“IGEM adalah acara utama terbesar yang dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mewujudkan satu platform bagi penyedia penyelesaian dan perniagaan tenaga hijau untuk memanfaatkan pasaran ASEAN yang pesat berkembang dengan mempamerkan inovasi terkini kepada penggubal undang-undang, organisasi kerajaan, pelabur dan pasaran massa.

“MIDA akan terus bekerjasama dengan MESTECC untuk berbincang dan menyertai IGEM, kerana ia adalah platform yang baik bagi MIDA untuk berhubung dengan pemegang kepentingan kami ke arah menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam projek hijau. Ini adalah sejajar dengan inisiatif hijau yang dipacu oleh MESTECC bagi memenuhi aspirasi Malaysia untuk pertumbuhan mapan,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN