KUALA LUMPUR 28 Feb. – MIC menawarkan khidmat guaman percuma kepada semua pihak yang terjejas ekoran kejadian rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya sejak Isnin lalu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M.Saravanan berkata, keputusan untuk menyediakan khidmat guaman itu diambil selepas pengumuman dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa peguam kepada syarikat pemaju terlibat yang bertanggungjawab mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh kuil tersebut.
“Sekiranya benar apa yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri itu, tentunya ini satu kesalahan daripada segi undang-undang, penganut Hindu di kuil tersebut telah diancam termasuk dengan parang dan sebagainya, maka ini melibatkan tindakan polis dan sivil terhadap syarikat peguam berkenaan.
“Ini termasuklah untuk tuntutan ganti rugi bukan sahaja yang menjadi mangsa tetapi struktur-struktur di sana yang musnah dan dirobohkan. Itu melibatkan pelbagai kos, ada juga kumpulan penganut Hindu di sana yang ditahan jadi perlu khidmat guamam sekiranya ada tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Tambah Saravanan, selain kepada pihak kuil dan golongan belia yang terjejas, khidmat guaman itu juga terbuka anggota badan beruniform yang terlibat sekiranya mereka memerlukan
“Ada permintaan untuk khidmat guaman ini diberikan, tetapi MIC membuat keputusan berkenaan selepas melihat mereka yang terjejas itu terdiri daripada golongan sederhana dan bukan mereka yang berkemampuan.
“Bukan setakat itu, MIC turut akan membantu untuk menanggung kos rawatan setiap yang menjadi mangsa dalam serangan dan rusuhan itu. Ramai daripada mereka tidak mampu untuk menjelaskan bil dan kos rawatan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









