MELAKA – Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan sebanyak 848 kompaun berjumlah RM150, 950 membabitkan kesalahan merokok di kawasan larangan dari tempoh Januari hingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, sebanyak 512 kompaun dikeluarkan di kawasan Melaka Tengah manakala Alor Gajah dan Jasin masing-masing sebanyak 172 dan 164 kompaun.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM106, 145 telah dijelaskan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Sementara itu bagi penguatkuasaan di Zon Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) pula, sehingga minggu ke-46 tahun ini sebanyak 1,126 Notis Kesalahan 32B (merokok di kawasan larangan) telah dikeluarkan melibatkan 848 penduduk tempatan, 250 pelancong tempatan dan 28 pelancong asing.
“Majoriti Notis Kesalahan 32B yang dikeluarkan melibatkan kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Perintah 22 iaitu sebanyak 638 kesalahan serta 477 kesalahan di bawah Perintah 13 iaitu golongan belum dewasa yang memiliki atau menghisap rokok,” katanya ketika Sesi Dialog Bersama Media di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Chee Leong berkata, lima Zon MBAR yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan sejak 2011 itu termasuklah Melaka Raya, Melaka Bandar Raya Warisan Dunia, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pusat bandar Alor Gajah dan pusat bandar Jasin. – K! ONLINE










