Mercedes sedia gegar Abu Dhabi - Utusan Malaysia

Mercedes sedia gegar Abu Dhabi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI – Pasukan Mercedes akan tampil habis-habisan dalam perlumbaan terakhir Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Abu Dhabi tanpa sebarang tekanan memandangkan sudah mengesahkan kejuaraan bagi kategori pelumba dan pengeluar.

Pasukan berpangkalan di Brackley, Northamptonshire, United Kingdom itu melakar kejuaraan kategori pelumba menerusi Lewis Hamilton pada GP Mexico, manakala gelaran juara kategori pengeluar dirangkul seminggu kemudian pada GP Brazil.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff bagaimanapun memberitahu, pasukannya enggan memberi muka kepada pasukan pesaing mereka, sebaliknya akan tampil bersaing di Litar Yas Marina itu dengan penuh bergaya.

“Meraih gelaran berganda sebanyak lima kali berturut-turut merupakan satu pengalaman yang tidak ramai yang dapat merasai dalam arena ini. Saya berasa sangat gembira dan kami akan menghargainya pada masa ini.

“Pada masa sama, kami perlu bersedia untuk meningkatkan lagi had dan tampil lebih hebat pada tahun 2019. Justeru, kami masih ada satu lagi perlumbaan untuk ditamatkan dengan penuh bergaya.

“Kami akan berikan yang terbaik sebagai hadiah kepada peminat-peminat kami. Tekanan persaingan ini sudah tidak lagi ada pada kami, namun kami akan berlumba habis-habisan pada saingan terakhir tahun ini,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN