KUALA LUMPUR 16 Nov.- Lima individu yang direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Empat individu berusia antara 33 hingga 49 tahun yang direman enam hari pada 10 November lalu mendapat perintah bebas reman daripada Majistret Low Wen Zhew semalam dengan jaminan RM10,000 setiap seorang dan seorang penjamin.
Seorang lagi ahli perniagaan berusia 48 tahun yang direman 13 November lalu turut dibebaskan hari ini oleh Majistret Ahmad Afiq Hassan dengan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.
Minggu lalu, lima individu tersebut ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta suapan sebanyak RM2 juta bagi menyelesaikan kes seorang individu berpangkat Datuk Seri.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- UTUSAN ONLINE










