Menjejak nostalgia di Utusan Melayu - Utusan Malaysia

Menjejak nostalgia di Utusan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASANYA seperti baru semalam saya melaporkan diri di Ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Ketika itu, seolah-olah tidak percaya saya berada di sebuah institusi yang sebelum itu saya hanya kenal melalui pembacaan.

Permulaan jodoh saya dengan Utusan berlaku tanpa dirancang. Segala-galanya berlaku selepas saya kecewa kerana tidak berpeluang me­lan­jutkan pengajian di universiti.

Sebaik sahaja menamatkan persekolahan tingkatan lima di Sekolah Dato’ Onn, Butterworth saya menjadi kerani di sebuah bank selama tiga bulan sebelum membuat keputusan berhenti 24 jam kerana saya kurang gemar dengan kerja hanya duduk di pejabat dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Saya perlukan ‘kebebasan’. Saya mahu melihat dunia dari kaca mata saya sendiri. Saya bercita-cita untuk menjadi ‘orang besar’. Saya mahu mengubah nasib keluarga saya. Itu azam saya.

Kerana itu, saya memberani­kan diri menghantar permohonan untuk menjadi wartawan Utusan Malaysia selepas membaca iklan jawatan kosong di akhbar itu.

Hakikatnya, kenangan itu sudah berlalu hampir 25 tahun ketika saya melaporkan diri pada 3 Januari 1994 sebagai pemberita kadet ketika usia menginjak ke 19 tahun.

* Sebatang kara di Kuala Lumpur

Ya, saya menyertai keluarga besar syarikat akhbar Melayu paling berpengaruh ini pada usia yang sangat muda.

Masih terbayang wajah dan reaksi emak saya ketika menyampaikan khabar saya diterima bekerja di Utusan Melayu. Saya tidak pasti sama ada dia gembira atau bersedih kerana saya harus berhijrah ke Kuala Lumpur iaitu satu perkara yang tidak pernah berlaku dalam kalangan adik beradik saya yang seramai 11 orang.

Persetujuan saya menerima tawaran Utusan Melayu untuk menjadi pemberita bermaksud saya harus bersendirian ke ibu negara. Saya sebetulnya sebatang kara di Kuala Lumpur. Menumpang di rumah kawan-kawan selama beberapa hari sementara untuk menyesuaikan diri.

Bahkan, ketika hadir temuduga pada 6 Disember 1993 pun, saya menumpang di rumah sahabat yang begitu berbesar hati menerima kehadiran saya yang ditemani dua orang kakak. Saya tidak punya sesiapa di Kuala Lumpur ketika itu.

Sama sekali tidak disangka daripada seorang remaja yang tidak tahu apa-apa mengenai bidang kewartawanan, saya diterima masuk selepas melalui proses temuduga yang dikendalikan oleh Datuk Khalid Mohd, Rozaid Abdul Rahman, Allahyarham Suhaimi Mokhtar dan Allahyarham Sirajuddin Mokhtar.

Saya membesar dengan Utusan Malaysia. Seawal usia tujuh tahun saya sudah mula membaca akhbar pilihan keluarga saya ini. Percaya atau tidak saya kenal ramai nama besar wartawan Utusan seperti Abi (Allahyarham Ahmad Idris), Bam (Allahyarham Bahyah Mahmood), Fauzan Uda Ahmad, Ku Seman Ku Hussain, Muzlina Abu Bakar, Tajaiyah Ihsan, Samsor Jonet, Nazeri Nong Samah, Norbaya Musa, Allahyarham Juwie dan ramai lagi melalui tulisan-tulisan mereka.

Demikian juga dengan nama jurugambar-jurugambar ternama Utusan seperti Syed Agil Syed Jaafar, Jeffri Iran, Hayat Suet dan ramai lagi antara yang cukup melekat di fikiran saya ketika itu.

* Wartawan hiburan prolifik

Sejujurnya, saya harus akui saya begitu ‘cemburu’ membaca laporan wartawan-wartawan hiburan hebat seperti mereka.

Masakan tidak, saya sangat kagum dan teruja apabila membaca laporan-laporan arwah Kak Bam mengenai penghibur ternama, Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang sudah seperti adik kandungnya sendiri. Saya berasa begitu dekat dengan Sudirman melalui tulisan-tulisan Kak Bam.

Demikian juga dengan Muzlina yang sebetulnya menjadi inspirasi kepada saya untuk bergelar seorang wartawan hiburan disegani. Laporan Muzlina yang paling saya ingat sampai sekarang ialah berita eksklusif penyanyi Mazuin Hamzah dilamar adik Sultan Brunei.

Ketika itu, saya membayang­kan saya berada di kedudukan Muzlina. Tentu sekali saya akan menjadi wartawan paling bahagia dan gembira kerana dapat memberikan laporan sedemikian kepada rakyat Malaysia. Tak salah kalau saya berangan bukan?

Begitu juga dengan wartawan prolifik Fauzan dan Ku Seman yang sememangnya menjadi idola saya sejak remaja kerana kehebatan mereka sebagai pengulas filem Melayu yang sangat disegani ramai.

Saya menanam cita-cita mahu menjadi wartawan hiburan seperti mereka.

Ya, tentu sekali ada dalam kalangan anda yang menyedari kenapa hanya nama-nama wartawan hiburan sahaja yang berada dalam senarai saya?

Masakan tidak, kecintaan dan kegemaran saya pada dunia hiburan terpupuk melalui pembacaan artikel-artikel hiburan sama ada dalam akhbar Utusan Malaysia ataupun sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia), Panca RTM dan majalah URTV yang dilaporkan oleh nama-nama besar itu.

Lalu, apabila ditakdirkan rezeki saya bekerja di institusi keramat ini pada 3 Januari 1994, saya tidak lagi berangan-angan atau bermimpi.

Utusan membuka laluan dan menghamparkan karpet merah untuk saya menjadi wartawan hiburan.

Selama 24 tahun, 11 bulan (genap hari ini) saya bekerja di Utusan, sebahagian besar masa saya bertugas di meja hiburan bermula sebagai wartawan hiburan Pancaindera (percaya atau tidak saya pernah bertugas semeja dengan Muzlina!), sebelum saya ditukarkan ke akhbar Kosmo! sebagai Pengarang Hiburan selama empat tahun.

Dari Kosmo! saya kembali ke akhbar Utusan Malaysia sebagai Pengarang Hiburan sebelum memikul cabaran besar sebagai Koresponden Utusan di Jakarta, Indonesia selama empat tahun bermula 2011.

* ‘Universiti’ pertama

Balik ke Malaysia pada 2015, saya ditugaskan di meja umum sebagai Pengarang Berita sebelum sekali lagi kembali ke meja hiburan sebagai Pengarang Hiburan Kanan akhbar ini.

Namun hari ini, berakhir sudah jodoh saya dengan Utusan. Saya akan meninggalkan universiti pertama saya dalam bidang kewarta­wanan.

Utusan bukan sekadar tempat saya mencari rezeki, sebaliknya, Utusan saling tidak ubah seperti rumah kedua saya.

Sebahagian daripada usia saya dihabiskan di sini. Utusan mengajar saya merangkak, bertatih, berjalan dan seterusnya berlari mengejar cita-cita saya yang tinggi dalam bidang kewartawanan.

Utusan juga membentuk keperibadian saya, mengajar saya bagaimana tingginya nilai kasih sayang berbanding kekayaan. Orientasi pekerjaan di sini juga sentiasa mengingatkan saya bahawa kekuasaan dan kemasyhuran hanya sementara sifatnya dan bukan jaminan kebahagiaan.

Beruntungnya saya menjadi sebahagian daripada penghuni di rumah kehidupan yang akan meraikan ulang tahun penubuhan ke-80 pada Mei tahun depan.

Jenama Utusan membawa saya mengenali ramai orang terutamanya rakan-rakan dalam industri hiburan yang menerima salam persahabatan dengan saya.

Di pejabat Utusan juga saya berhutang budi dengan ramai individu yang tidak mampu saya senaraikan nama mereka di sini. Terima kasih kepada semua yang pernah mengasuh dan membimbing saya. Maafkan sebarang salah silap saya selama ini.

Terlalu banyak memori yang saya kumpul di sini. Semuanya akan kekal dalam kotak fikiran saya. Akan saya kenang dan bawa jasa Utusan sehingga ke akhir hayat.

Dirgahayu Utusan Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN