MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy selamat menjalani pembedahan lutut di sebuah klinik di Barcelona, awal pagi tadi.
City dalam satu kenyataan rasmi, mengesahkan perkara berkenaan, begitupun tidak mendedahkan berapa lama pemain itu akan direhatkan.
Pertahanan kiri itu diturunkan ketika kemenangan 3-1 City ke atas musuh setempat, Manchester United, namun terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan Perancis selepas mengalami kecederaan meniskus lutut kiri.
“Pemain kebangsaan Perancis itu bermain selama 90 minit ketika kemenangan 3-1 ke atas Manchester United.
“Dia mendaftarkan diri sebelum digugurkan pasukan kebangsaan tersebut.
“Pemain berusia 24 tahun itu menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Dr. Cugat di Barcelona yang mendapati pembedahan segera perlu dilakukan.
“Pembedahan dijalankan pada sebelah petang dan kami di Manchester City mendoakan Benjamin segera pulih,” jelas kenyataan itu.
Sebagai rekod, Mendy pernah mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) lutut kanan pada September 2017 dan terpaksa direhatkan sehingga 22 April lalu.
Kecederaan kali ini kurang serius berbanding itu, namun belum ada kepastian tentang selama mana pemain tersebut akan direhatkan. – Agensi










