SEBAGAI sebuah agensi penyelarasan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam memperkasa sistem kewangan Islam di negara ini.
Mengimbau terowong masa bermula 1970, Jakim telah menjalankan kajian-kajian berkaitan isu-isu muamalat dan pembangunan ekonomi Islam melalui bahagian penyelidikannya. Pada 1983, Jakim mengemukakan kajian berkaitan sistem perbankan berlandaskan syariah untuk pertimbangan pihak kerajaan, hasilnya tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun yang sama dan kemudian disusuli pula penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Berhad pada 1984 selaku pengendali insurans patuh syariah pertama di Malaysia.
Alhamdulillah, bermula dengan kajian asas tersebut, hari ini sistem perbankan Islam dan takaful di Malaysia yang dikawal selia oleh BNM berkembang pesat sehingga menjadi rujukan dunia.
Tentunya produk-produk ini adalah amat membanggakan kita semua. Teori-teori muamalat Islam tidak sekadar tertulis dalam kitab-kitab khazanah sahaja, tetapi ia diterjemahkan melalui produk yang turut diperkukuhkan dengan model Malaysia.
Jakim juga sejak sekian lama sentiasa menjalinkan hubungan akrab bersama Kementerian Kewangan dalam menyediakan perkhidmatan pembiayaan kenderaan dan perumahan secara patuh syariah kepada penjawat awam. Begitulah juga dalam segmen pajak gadaian Islam, produk dana amanah berteraskan syariah, kajian-kajian awal dilaksanakan oleh Jakim dengan kerjasama pihak MAIN, JAIN serta lain-lain agensi seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Untuk memastikan kefahaman umat Islam dalam mendepani isu-isu semasa berkaitan muamalat dan ekonomi Islam, Jakim menerbitkan beberapa garis panduan antaranya garis panduan perniagaan jualan langsung secara pemasaran berbilang tingkat (multi-level marketing) menurut syariah, parameter pelaburan emas serta lain-lain garis panduan berkaitan yang boleh dicapai melalui laman web rasmi Jakim.
Melalui program pendidikan dan penerangan, masyarakat Islam akan terus memahami keindahan sistem muamalat Islam, maka Jakim telah menerbitkan Glosari Muamalat, Jurnal Muamalat, Himpunan Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) berkaitan isu muamalat selain membangunkan Portal E-Muamalat yang menyiarkan bahan rujukan dan bacaan khusus berkaitan segmen muamalat dan kewangan Islam.
Penerbitan bahan-bahan ini adalah sokongan kepada usaha yang dijalankan oleh pihak BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, MAIN, JAIN, Jabatan Mufti negeri-negeri serta lain-lain pihak berautoriti. Jakim bersama institusi perbankan Islam juga telah turun padang menganjurkan program Wacana Kewangan Islam selain memanfaatkan institusi masjid dan surau dalam khutbah Jumaat, kuliah pengajian dan halaqah.
Selain itu, untuk memperkasa modal insan yang memahami secara tuntas bidang muamalat, Jakim melalui Darul Quran Jakim telah menawarkan pengajian Diploma Tahfiz dan Muamalat kepada para pelajar. Adalah amat diharapkan dengan gabungan ilmu al-Quran dan muamalat, ia akan terus meneroka khazanah ilmu-ilmu muamalat dan pengurusan kewangan.
Selain itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sebuah institusi latihan di bawah Jakim juga telah memperkenalkan kursus Sijil Tinggi Pengurusan Harta dan Ekonomi Islam kepada para pegawai dan kakitangan awam dan swasta. Usaha ini memperlihatkan komitmen tinggi kita dalam mempersiapkan para ilmuwan yang akan turun ke lapangan menyampaikan mesej kerahmatan Islam dalam pengurusan kewangan.
Sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam, Jakim telah mengambil inisiatif menganjurkan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam di Malaysia. Muzakarah tahunan ini telah membincangkan isu-isu kewangan Islam bersama himpunan para ilmuwan kewangan Syariah, para pembuat dasar, dan para pemain industri kewangan Islam. Muzakarah ini amat penting dalam membina persepakatan bersama khususnya dalam memacu hala tuju kewangan Islam di Malaysia.
Pada 22 Oktober lalu, Muzakarah kali ke-14 bersidang dengan tema “Pematuhan Syariah Mendepani Inovasi Kewangan Global”. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof telah menyampaikan ucapan perasmian. Tentunya muzakarah berupaya sebagai wahana untuk meneroka keunggulan sistem kewangan Islam dalam menyempurnakan gagasan rahmatan lil ‘Alamin.
Melalui pendekatan “melebar risalah, menyantuni ummah”, Jakim akan terus menjalankan fungsinya dalam landskap pengurusan negara untuk mengajak umat Islam kembali kepada akar al-Quran dan as-Sunnah khususnya dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam.
Dalam pada masa sama, kami akan terus bersama-sama pihak BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta MAIN, JAIN dan Jabatan Mufti negeri-negeri dalam meneroka keindahan sistem muamalat dan kewangan Islam berasaskan acuan Fiqh Malaysia seperti yang dihasratkan oleh pihak kerajaan.
DATUK MOHAMAD NORDIN IBRAHIM ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).











