MELAKA – Melaka United dijangka akan mengumumkan senarai lengkap pemainnya dalam tempoh dua minggu lagi sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) , Adly Zahari berkata, pihak kejurulatihan dan pengurusan kini sedang memfokuskan penilaian beberapa pemain untuk dibawa masuk sekali gus memperkuatkan skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan.
“Kita memang ada beberapa nama yang dibincangkan namun senarai pemain ini akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu akan datang selain telah mengenal pasti jersi yang bakal dikenakan pasukan ini.
“Kita turut merancang lima aksi persahabatan pra musim sebagai persediaan dan mencari persefahaman pasukan untuk membentuk satu pasukan yang terbaik dan mampu menyaingi lawan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dakwaan perletakan jawatan pengurus pasukan itu yang juga Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, beliau berkata setakat ini pengurusan skuad berkenaan masih kekal.
“Pada peringkat pengurusan, kita tidak membuat sebarang perubahan dan mengekalkan kumpulan yang sedia ada.
“Saya tidak menafikan ada perbezaan pendapat, namun itu adalah perkara biasa dan saya percaya dia (Mohd. Yusoff) akan membuat penambaikan bagi memantapkan lagi skuad Sang Kancil,” katanya. – K! ONLINE










