KUALA LUMPUR 17 Nov. – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pelantikan Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai Chef De Mission CDM) kontinjen Malaysia dalam kempen Sukan SEA 2019 di Filipina selain menegaskan pemilihan atlet ke temasya berkenaan akan diperketatkan.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam sukan selain dikenali ramai.
“Dalam mesyuarat hari ini kami telah sebulat suara untuk meluluskan pelantikan Datuk Megat Zulkarnain Omar Din sebagai CDM Sukan SEA 2019 dan beliau dipilih daripada lima calon yang disenarai pendek.
“Pemilihan dibuat selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Naib Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim telah menjalankan tugas memilih calon sesuai untuk jawatan CDM berkenaan.
“Kita merasakan cabaran di Filipina begitu sukar terutama berlatar belakangkan kejayaan Sukan SEA 2017 dan saya percaya kewibawaan serta kepimpinan yang dipamerkan oleh Datuk Megat mampu jadi calon terbaik dalam Sukan SEA nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Ke-187 di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad Norza turut memberitahu bahawa pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019 akan diperketatkan terutama melibatkan Kategori B bagi memastikan hanya yang terbaik dan mampu menyumbang kecemerlangan buat negara layak ke Filipina.
“Jawatankuasa pemilihan atlet yang dipengerusikan oleh Tan Sri M. Jegathesan akan membentangkan kepada kami hasil rumusan diperoleh pada Januari nanti dan kita juga akan mengambil kira berkaitan Kategori B yang telah memberikan kami banyak masalah ketika Sukan Asia yang lalu, sekali gus memerlukan kami memperketatkan lagi pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019.
“Jumlah atlet lebih ramai atau kurang semuanya bergantung kepada berapa banyak sukan yang akan dipertandingkan kerana ketika ini tuan rumah belum mengesahkan keseluruhan acara dipertandingkan.
“Kita juga telah menghantar 13 rayuan sukan untuk dipertandingkan dan ketika ini hanya 11 diterima manakala dua lagi masih dalam pertimbangan iaitu kriket dan ski air,” kata Mohamad Norza.










