KUALA LUMPUR 15 Nov. – Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menegaskan bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usaha pihak-pihak tertentu untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, perkara yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Malaysia itu perlu dikekalkan untuk menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
“ICERD tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana rakyat Malaysia sudah hidup dalam keadaan harmoni walaupun pelbagai kaum.
“MCCF melihat gesaan pihak-pihak tertentu untuk menandatangani ICERD adalah cubaan individu yang mempunyai agenda dan kepentingan politik tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, lima prinsip Rukun Negara harus dihayati dan sebab serta kepentingan kewujudannya perlu difahami secara terperinci oleh rakyat Malaysia.
“Perpaduan dan keharmonian kaum yang dicapai sejak merdeka lagi adalah bukti rakyat negara ini tidak memerlukan ICERD,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











