NILAI 29 Nov. – Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mensasarkan 120 penyertaan persendirian dalam Kejohanan Golf Amal Perkasa 2018 di Nilai Spring Golf and Country Club dekat sini pada 9 Disember nanti.

Program tersebut merupakan anjuran bersama MCCF dan Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan.
Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, program itu bertujuan untuk mengumpul dana persatuan bagi membantu kebajikan pegawai kastam yang mengalami kemalangan atau sakit.
“Program ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan serta menjalinkan kerjasama antara perkhidmatan awam dan sektor swasta.
“Dana terkumpul daripada program ini akan dibahagikan kepada kedua-dua tabung kebajikan persatuan Perkasa dan MCCF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, program tersebut bakal dirasmikan oleh Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah.
“Program ini terbuka kepada orang ramai. Mereka yang berminat untuk menyertai dan menaja aktiviti ini boleh menghubungi Mohd Heikal Mohd Isa ditalian 019-6567762 atau Roslina Ali ditalian 0126372381,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.










