BACHOK – Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia bersama motosikalnya dipercayai akibat sakit jantung sebelum terbabas ke dalam parit di Kampung Balai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, mayat mangsa berusia 63 tahun ditemui di simpang masuk ke Wat Siam Pathumviharn pada pukul 12.45 tengahari.
Menurutnya, mangsa bersama motosikal Honda C70 dikenali sebagai Abdul Aziz Jusoh dari Kampung Wakaf Pohon Tanjong, Perupok, dekat sini.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Tawang menghala ke Perupok dipercayai hilang kawalan. Mangsa terbabas dengan sendiri ke bahu jalan sebelum tercampak ke dalam parit berdekatan.
“Mangsa mengalami kecederan luka kecil di lutut kiri dan buku lali kiri sebelum meninggal dunia di tempat kejadian. Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai telah meninggal dunia kurang dari 24 jam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tuan Aminuddin berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang ditemui di tempat kejadian.
Katanya, hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat sakit jantung.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










