Mayat anggota polis jatuh Sungai Paka ditemui selepas tujuh hari operasi SAR - Utusan Malaysia

Mayat anggota polis jatuh Sungai Paka ditemui selepas tujuh hari operasi SAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Mayat anggota polis yang terjatuh ke dalam Sungai Paka ketika mengejar seorang suspek kes pecah rumah pada Jumaat lalu ditemui terapung di sungai itu hari ini selepas tujuh hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mayat Konstabel Wan Mohd. Arif Wan Yahya, 28, yang bertugas di Balai Polis Paka itu dijumpai terapung di permukaan air kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian oleh sepasukan anggota SAR pada pukul 12.25 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa berada pada jarak kira-kira 40 meter dari lokasi mayat lelaki yang dikenali sebagai Zam Ayam ditemui pada Isnin lalu.

“Kita percaya mayat mangsa sebelum ini mungkin tersangkut pada dahan pokok di dalam sungai dan pasukan yang menjalankan operasi bersama-sama penduduk kampung hari ini turut melakukan kerja-kerja memotong dahan di sekitar kawasan mayat pertama ditemui.

“Operasi yang dijalankan tertumpu di sekitar kawasan itu kerana pasukan SAR yakin mayat anggota polis terbabit berada di dasar sungai,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan tindakan seorang anggota polis mengejar suspek kes samun mengundang tragedi apabila dia dan penjenayah tersebut dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Paka dalam kejadian di Kampung Durian Mentangau dekat sini.

Sementara mayat lelaki yang disyaki suspek tersebut yang terjatuh bersama mangsa dijumpai tersangkut pada timbunan ranting kayu kira-kira pukul 11.30 pagi pada Isnin lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN