DUNGUN – Mayat anggota polis yang terjatuh ke dalam Sungai Paka ketika mengejar seorang suspek kes pecah rumah pada Jumaat lalu ditemui terapung tujuh hari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mayat Konstabel Wan Mohd. Arif Wan Yahya, 28, yang bertugas di Balai Polis Paka itu dijumpai di sungai itu kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian oleh sepasukan anggota SAR pada pukul 12.25 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 40 meter dari lokasi mayat lelaki yang dikenali sebagai Zam Ayam ditemui pada Isnin lalu.
“Kita percaya mayat mangsa sebelum ini mungkin tersangkut pada dahan pokok di dalam sungai. Pasukan SAR bersama penduduk kampung turut melakukan kerja-kerja memotong dahan di sekitar kawasan mayat pertama ditemui,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.










