KUALA LUMPUR 26 Nov. – Mata wang kripto yang dilihat mempunyai pertalian dengan Pakatan Harapan (PH), Harapan Coin terus dipersoal dalam Dewan Rakyat hari ini, kerana dikatakan mendahului garis panduan pihak berkuasa mengenai mata wang teknologi itu.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan pengenalan mata wang kripto itu memandangkan belum menerima sebarang kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mata wang kripto ini masih dilihat sebagai satu aset yang berisiko tinggi, tidak diasaskan kepada apa-apa aset atau jaminan daripada kerajaan, atau mana-mana kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy berkata, terdapat laporan mendakwa Harapan Coin telah mula dijual seperti dinyatakan dalam laman web harapancoin.com dan didagangkan pada kadar AS$45 (RM186) bagi 100 unit dan AS$772 (RM3,235) telah berjaya dikumpulkan.
“Saya ingin tahu apakah operasi ketika ini dijalankan secara tidak sah, kerana belum dapat kelulusan BNM dan apakah tindakan yang akan diambil memandangkan mata wang kripto ini dijual atas nama parti kerajaan,” kata Khairy.
Dilaporkan sebelum ini satu usaha akan dibuat untuk mencadangkan penggunaan Harapan Coin kepada BNM dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.-UTUSAN ONLINE










