BESUT 26 Nov. – Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, yang mendapat jolokan sebagai Masjid Russia kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Russia berjaya menarik perhatian orang ramai ketika tinjauan baru-baru ini.
Berdiri gah di kawasan sawah padi di tengah-tangah kampung itu, Masjid Lapan Kubah yang dicetuskan pembinaannya oleh Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh kira-kira enam tahun lalu kini menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan orang ramai sama ada penduduk tempatan mahu pun rakyat dari negeri luar.
Keunikan senibina yang lain daripada reka bentuk masjid lain di daerah dan negeri ini ditambah dengan kombinasi warna kubah yang dicat berwana-warni, menyebabkan masjid itu yang mula digunakan sejak tahun lalu itu tidak putus-putus dikunjungi sama ada untuk menunaikan solat atau sekadar merakam kenangan.
Masjid yang dibina dengan kos RM4 juta menerusi derma orang ramai itu sebenarnya bertujuan menggantikan masjid kayu. – BERNAMA











