LONDON 3 Nov. – Walaupun pernah ditikam sebanyak 46 kali oleh suaminya, seorang wanita masih menyatakan kesetiaan untuk sehidup semati dengan lelaki berkenaan.
Wanita tersebut, Shannon Barnard, 21, mengalami 13 luka tikaman di dada dan payu dara, empat luka di organ dalaman dan 10 tikaman di bahagian abdomen ketika diserang oleh suaminya, Michael di rumah mereka di Hextable, Kent pada 11 Januari lalu.
Lapor Metro UK, susulan kejadian itu, Michael dipenjarakan selama 20 tahun atas cubaan membunuh Shannon.
Kejadian itu berlaku dua minggu selepas Shannon mengetahui Michael berlaku curang terhadap dirinya.
Menurut pendakwa raya, Christopher May, kejadian berkenaan berlaku disebabkan oleh konfrontasi dan perbualan yang membawa kepada serangan terbabit.
Akibat serangan berkenaan, Shannon terpaksa dirawat di hospital selama 17 hari.
Michael juga didakwa atas kesalahan merogol seorang wanita namun namanya sudah dibersihkan daripada tuduhan selepas hubungan sulit itu didakwa dilakukan dengan kerelaan wanita tersebut.
Sewaktu ditanya ketika pendengaran perbicaraan berhubung kes tersebut mengenai masa depan perkahwinan mereka, Shannon berkata: “Saya hanya mahu bersama dia dan mempunyai kehidupan yang kami mahukan serta membina sebuah keluarga. Saya sudah memaafkan dia.”
Mahkamah juga dimaklumkan Shannon sering mengunjungi Michael di penjara dan bercadang mahu melawat suaminya itu dua kali seminggu.










