Marquez teruja pacu jentera baharu - Utusan Malaysia

Marquez teruja pacu jentera baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA – Juara Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dari pasukan Repsol Honda, Marc Marquez mengakui dia perlu mematuhi arahan pasukan supaya tidak terjatuh pada sesi ujian jentera baharu di Litar Ricardo Tormo, Valencia.

MARQUEZ mengakui jentera baharu Honda cukup bertenaga, namun dia tidak dibenarkan menguji pada tahap maksimum kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu berkata, perlu menguji dua buah jentera berlainan versi selain me­nganggap jentera berkenaan diberikan sentuhan evolusi baharu bagi menghadapi saingan musim depan.

Marquez perlu berjaga-jaga dengan keadaan fizikalnya memandangkan dia mengalami kecederaan bahu sebanyak dua kali pada perlumbaan terakhir musim ini di litar berkenaan minggu lalu.

“Saya dapat rasakan jentera ini sangat laju dan kukuh. Kami menguji dua jentera berlainan pelarasan, jadi saya fikir Honda me­lakukan satu evolusi yang lebih baik berbanding jentera sedia ada.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh tampilkan tunggangan maksimum berdasarkan keadaan fizikal saya kerana pasukan mungkin ‘membunuh’ saya sekiranya terjatuh. Buat masa ini, kami dapat banyak maklumat penting mengenai jentera ini,” kata Marquez sambil berseloroh.

Meskipun masih belum bercakap dengan rakan sepasukan baharu, Jorge Lorenzo, namun Marquez berharap mereka mampu menjadi rakan sepasukan yang baik biarpun perlu bersaing sesama sendiri apabila berada di litar.

“Sebagai pelumba, sudah pasti kami mahu berada di hadapan, tidak kira sama ada anda rakan sepasukan ataupun tidak. Bagaimanapun, saya harap kami boleh wujudkan hubungan baik di luar litar,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×