JOHOR BAHRU 26 Nov. – Sebuah kapal nelayan laut dalam yang berdaftar di Fuzhou, China ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki perairan perikanan Malaysia di perairan Tanjung Penyusup dekat Pengerang, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kapten Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal itu ditahan oleh pihaknya yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan kira-kira pada pukul 5 petang.
“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut telah melakukan kesalahan iaitu gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki perairan perikanan Malaysia, tiada kebenaran bersauh di samping dokumen berkaitan kapal serta kru juga tidak lengkap.
“Kapal itu bersama 10 kru warganegara China yang berusia di antara 21 hingga 53 tahun juga disyaki belayar dari China tanpa nakhoda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambahnya, pemeriksaan yang dilakukan juga mendapati tiada muatan ikan ditemukan di atas kapal terbabit.
Beliau berkata, semua mereka disiassat di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Mohd. Zulfadli berkata, tangkapan itu merupakan yang keenam tahun ini bagi kes yang sama.
“Justeru, orang ramai diseru untuk bekerjasama dengan Zon Maritim Sedili dengan menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan dengan menghubungi talian 07-8916591 atau 999 yang beroperasi selama 24 jam. – UTUSAN ONLINE










