KUALA LUMPUR 15 Nov. – Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) mempersoalkan di mana suara pakar ekonomi seperti Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan Dr. Mohammed Abdul Khalid yang dilihat membisu dalam menyuarakan pandangan mengenai Belanjawan 2019.
Takiyuddin berkata, selain kedua-dua pakar tersebut, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang sering memberi ulasan mengenai belanjawan yang dibentangkan sebelum ini juga nampaknya tidak menyuarakan pandangannya selepas menjadi orang penting dalam kerajaan.
“Setiap tahun kita bentangkan belanjawan, ramai pakar ekonomi beri ulasan termasuk Jomo, Mohammed, Dzulkefly dan ahli Parlimen Pasir Gudang (Hassan Abdul Karim).

“Tetapi malangnya, apabila Belanjawan 2019 dibentangkan, pandangan Jomo sudah tidak didengari, Mohammed sudah tidak ada, Dzulkefly pun tidak ada, Pasir Gudang ada sikit-sikit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Soal beliau, adakah kerana pakar ekonomi tersebut kini berada dalam kerajaan maka mereka tidak lagi mengeluarkan pandangan mengenai ekonomi negara.
“Jomo menjadi anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Mohammed pula dilantik Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dzulkefly pula jadi Menteri Kesihatan, harapkan kepada Pasir Gudang sahaja.
“Saya menjangkakan orang ekonomi ini apabila ada dalam kerajaan, mereka lebih efektif menyumbangkan pandangan untuk kepentingan ekonomi dan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, beliau juga tidak menyokong Belanjawan 2019 itu kerana dilihat tidak seimbang kepada pembangunan ekonomi Pantai Timur.









