SHAH ALAM 16 Nov. – Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini, langsung tidak membangkitkan soal kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto pilihan raya umum lalu.
Begitu juga dengan nasib nelayan, petani dan pekebun yang dilihat dianaktirikan dalam Belanjawan 2019 berikutan gagal diperjuangkan oleh Ketua AMK, Ketua Wanita, mahupun para perwakilan meskipun mereka berbahas dari pagi hingga petang.
Walaupun PKR sudah membentuk kerajaan dan sayap parti berkenaan, sepatutnya menjadi pendesak kepada Putrajaya dengan membawa isu-isu rakyat, namun AMK dan Wanita PKR sebaliknya lebih gemar bercakap soal masalah kerajaan terdahulu.
Misalnya Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad sendiri dalam ucapan dasarnya lebih lantang menuntut dihapuskan akta yang didakwanya menindas, selain turut menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dalam isu ICERD, beliau seolah-olah langsung tidak sensitif dengan bantahan orang Melayu dan umat Islam terhadap cadangan ratifikasi tersebut apabila mengulangi dalam sidang akhbarnya bahawa ia wajar ditandatangani jika Perlembagaan tidak diubah.
Begitu juga ucapan dasar Ketua Wanita apabila Haniza Talha hanya bercakap soal umur perkahwinan, isu kuota 30 peratus golongan itu dalam sektor awam dan swasta serta retorik peringatan politik mengenai ketamakan kuasa.
Hanya seorang sahaja perwakilan iaitu wakil Pulau Pinang, Fahmi Zainur yang tampil melahirkan kekecewaannya terhadap kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Tegas Fahmi, apa yang dilakukan kerajaan PH ketika ini amat berbeza dengan yang dijanjikan sebelum menang PRU-14 Mei lalu dan beliau mengingatkan kuasa politik boleh hilang jika janji kepada rakyat tidak ditunaikan.
“Sebab itu AMK perlu tuntut janji yang kita cakap sebelum ini dan tidak boleh lepas pandang.
“AMK perlu tuntut janji sebelum ini terutama membabitkan hak orang muda seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.










