KECEDERAAN dialami kapten skuad hoki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib tidak serius seperti disangka, sekali gus memberi petanda positif menjelang saingan Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 28 November ini hingga 16 Disember depan.
Sukri, 32, terpaksa dipapah keluar oleh pegawai fisioterapi pasukan dari Institut Sukan Negara dalam separuh masa pertama aksi persahabatan kedua menentang New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
Kerisauan jelas terpancar dalam kalangan barisan kejurulatihan dan rakan-rakan sepasukannya kerana Sukri terbaring meraung kesakitan selepas dirempuh salah seorang pemain New Zealand pada aksi yang menyaksikan Malaysian Tigers tewas tipis 3-4.
Tonggak pertahanan berpengalaman itu tidak dapat meneruskan baki aksi babak pertama untuk menerima rawatan di bilik persalinan.
Bagaimanapun Sukri menegaskan, ia bukan kecederaan serius yang mampu menjejaskan peluangnya untuk beraksi membantu skuad negara menghadapi saingan ‘kumpulan maut’ iaitu Kumpulan D di Piala Dunia 2018 menentang Belanda, Jerman dan Pakistan.
“Awalnya memang sukar untuk (saya) bernafas kerana (perlanggaran) terkena di bahagian tulang rusuk.
“Saya dapat kembali bermain pada separuh masa kedua selepas pegawai fisioterapi merawat saya dengan baik. Pernafasan sekarang juga semakin baik.
“Saya rasa tiada masalah untuk saya terus bermain pada perlawanan persahabatan terakhir menentang New Zealand,” katanya selepas tamat perlawanan tersebut.
Ketiadaan Sukri menyaksikan benteng pertahanan Malaysian Tigers sedikit longgar tetapi keyakinan barisan pemain kembali meningkat selepas bintang hoki Perak itu dimasukkan semula bermain dalam separuh masa kedua.
Skuad bimbingan Roelant Oltmans akan mengharungi aksi pemanas badan terakhir iaitu siri persahabatan ketiga menentang New Zealand yang merupakan pasukan No. 9 dunia di Stadium Hoki Nasional hari ini.










