JOHOR BAHRU 15 Nov. – Malaysia berada di landasan betul dalam memperluas serta memperkukuh hubungan kerjasama ekonomi dengan negara jiran dan serantau sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur asing melabur di negara ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya keyakinan itu adalah berdasarkan komitmen serta penekanan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menerapkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik.
“Saya gembira dengan keyakinan ditunjukkan pelabur asing terutama dari Jepun dan Singapura yang bersedia mempertimbang meneruskan pelaburan langsung asing mereka di Malaysia.
“Jadi, saya melihat ini satu perkembangan yang cukup positif di mana pelabur-pelabur asing yakin kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membawa satu anjakan yang penting dalam pentadbiran negara selain menjamin pelaburan mereka itu selamat dan dapat diuruskan secara telus dan terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor 2018 anjuran Johor Corporation (JCorp) yang disempurnakan oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi JCorp, Datuk Osman Sapian di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim dan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim. – UTUSAN ONLINE










