KUALA LUMPUR 28 Nov. – Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan tambahan ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih untuk memenuhi permintaan perjalanan udara semasa cuti Tahun Baharu Cina.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail berkata, sebanyak 9,980 tempat duduk tambahan ditawarkan melalui 38 penerbangan tambahan dan 30 penerbangan yang dinaik taraf yang dikendalikan mulai 1 hingga 10 Februari 2019.
Katanya, tahun lalu syarikat menawarkan 2,000 tempat duduk tambahan untuk Tahun Baharu Cina dan jumlah itu meningkat hampir lima kali ganda tahun ini dengan harga yang kompetitif.
“Kami gembira dapat meningkatkan kapasiti tempat duduk kami ke destinasi utama untuk membolehkan para pelanggan pulang ke rumah dan menyambut perayaan dengan keluarga dan orang tersayang.
“Sebagai syarikat penerbangan nasional kami komited untuk memastikan keupayaan untuk memenuhi tuntutan dan juga menyedari harga kompetitif semasa musim puncak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, Malaysia Airlines akan terus memantau permintaan dan menawarkan penerbangan tambahan jika perlu, untuk memudahkan perjalanan semasa tempoh cuti akan datang.
Katanya, sebanyak 38 penerbangan tambahan adalah bagi laluan ulang alik antara Kuala Lumpur-Sibu (lapan penerbangan); Kuala Lumpur-Kota Kinabalu (empat penerbangan); Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur-Sandakan masing-masing lapan penerbangan serta Kota Kinabalu-Taipei (10 penerbangan).
Sementara itu, 30 penerbangan dinaik taraf daripada pesawat B737-800 dengan 160 tempat duduk kepada pesawat A330-300 dengan kapasiti 290 tempat duduk.
“Ia adalah bagi laluan ulang alik antara Kuala Lumpur-Singapura; Kuala Lumpur-Pulau Pinang; Kuala Lumpur-Kuching dan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu,” kata Izham.
Beliau berkata, Malaysia Airlines juga menawarkan promosi bagi mereka yang merancang untuk ‘balik kampung’ pada cuti Tahun Baharu Cina dengan kadar serendah RM179 sehala dari Kuala Lumpur ke Langkawi, Kota Bharu, Terengganu dan Kuantan.
“Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Bintulu dan Labuan bermula serendah RM229 sehala manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bermula serendah RM279.
“Di samping tawaran hebat ini, syarikat juga akan menyajikan makanan istimewa perayaan, termasuk Yee Sang, dalam tempoh tersebut. Semua makanan ini datang bersama elaun bagasi percuma 20 kilogram di Kelas Ekonomi dan hiburan dalam penerbangan,” katanya.










