Makanan halal mudah di Taiwan - Utusan Malaysia

Makanan halal mudah di Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN majoriti rakyat iaitu hampir 97 peratus daripada keseluruhan 24 juta orang adalah penganut Buddha, makanan halal menjadi satu isu yang besar bukan sahaja terhadap tiga peratus penduduk Islam, tetapi juga pelawat Muslim yang datang ke negara pulau itu.

Menyedari masalah yang dihadapi umat Islam di Taiwan, sekumpulan sembilan orang mahasiswa National Taiwan University of Science membangunkan aplikasi halal.

Aplikasi itu pada mulanya dibangunkan dengan niat untuk membantu rakan-rakan sekuliah mengetahui lokasi makanan halal di seluruh Taiwan yang bukan sahaja menepati kehendak syariah, tetapi juga menawarkan harga berpatutan.

Antara pengasas Halal.TW, Intan Dzikria, 27, dari Indonesia yang merupakan mahasiswa Sarjana Teknologi Maklumat berkata, sehingga kini aplikasi tersebut menyenaraikan 256 lokasi gerai, restoran dan hotel yang mendapat pengiktirafan halal dari Persatuan China Muslim (CMA) iaitu badan penyelia serta pemantau makanan halal di Taiwan.

“Lebih 10,000 pengguna memuat turun aplikasi ini sejak dilancarkan tahun lalu. Penggunanya bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Islam tempatan tetapi juga umat Islam dari seluruh dunia yang datang ke Taiwan untuk tujuan perniagaan atau melancong.

“Bukan mudah untuk menerangkan konsep halal kepada rakyat Taiwan yang bukan beragama Islam. Mereka melihat sesuatu perkara berdasarkan logik dan sains.

“Untuk makanan halal berkembang kita perlu menerangkan konsep halal bukan berdasarkan agama tetapi melalui logik sains,” kata Intan kepada media Malaysia yang dibawa oleh Biro Pelancongan Taiwan untuk melihat sendiri usaha keras negara itu untuk menjadikan Taiwan mesra kepada pelancong Islam.

Aplikasi Halal.TW bukan sahaja menyenaraikan restoran serta hotel yang mendapat pengiktirafan dan sijil makanan halal, tetapi turut menyediakan senarai masjid, surau atau lokasi yang dibuka kepada pelancong Islam untuk menunaikan solat.

Di Taiwan, terdapat empat jenis persijilan dan logo halal yang dikeluarkan CMA iaitu MR (Muslim Restaurant) yang diberikan kepada kedai makan dimiliki orang Islam, MFR (Muslim Friendly Restaurant) yang diberikan kepada kedai yang dimiliki Islam, MFT (Muslim Friendy Tourism) iaitu tempat yang menyediakan kemudahan mesra Muslim seperti surau dan MCH (Muslim Certification Hotel) iaitu penginapan dengan kemudahan mesra Muslim.

Apa yang lebih membanggakan aplikasi itu turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Taiwan apabila memberi geran bernilai TWD950,000 (RM128,509) untuk aplikasi Halal.TW terus dibangunkan.

CITA RASA MALAYSIA

Bagi yang inginkan cita rasa Malaysia, terdapat sebuah kedai halal yang menjual makanan menyerupai masakan Malaysia.

Menariknya kedai tersebut Kunming Islamic Restaurant dimiliki dan dikendalikan oleh pasangan suami isteri Muslim, Yaacob Mah, 60 dan Fatima Ming, 58, berasal dari Tanah Besar China.

Antara masakan yang disajikan di restoran ini adalah ikan siakap masam-manis, sambal udang, daging masak kicap, telur dadar dan kangkung goreng.

“Pelanggan saya sebahagian besar adalah dari Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Pada mulanya, saya tidak cekap memasak makanan Asia Tenggara tetapi perlu juga melakukannya atas permintaan pelanggan,” kata Yaacob.

Kesemua masakan yang dihidangkan kepada media sememangnya menepati cita rasa Malaysia dan kesemua menu yang dihidangkan habis di makan.

Yaacob telah membuka restoran ini selama 26 tahun. Selain isterinya turut membantu di restoran tersebut; adalah dua orang pekerja daripada Indonesia.

Bagi yang berminat, Juara Travel & Tours Sdn Bhd turut menyediakan pakej pelancongan Muslim. Maklumat lanjut mengenai pakej ditawarkan Juara Travel boleh hubungi talian 03-92267105 atau laman web, www.juaratravel.com.my serta laman Facebook Juara Travel & Tours Sdn. Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN