KUALA LUMPUR 28 Nov. – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Majlis Tahfiz Negara pada awal tahun depan dalam usaha untuk menyelaras semua sekolah tahfiz swasta berdaftar di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, menerusi majlis tersebut kerajaan boleh memberi jaminan kepada keselamatan, pensijilan dan penarafan selain peruntukan untuk sekolah-sekolah tahfiz swasta berkenaan.
“Sebab itu kita menyarankan semua sekolah tahfiz swasta ini berdaftar dengan jabatan agama Islam kerana apabila berdaftar, kita boleh menjamin keselamatan mereka selain daripada aspek pensijilan dan penarafan termasuk peruntukan.

“Kawalan, penarafan dan pensijilan sekolah tahfiz swasta tersebut hanya boleh dilaksanakan apabila wujudnya Majlis Tahfiz Negara kerana ketika ini kita hanya mempunyai Dasar Pendidikan Tahfiz Negara,” katanya pada sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan meneruskan dasar untuk membangunkan pusat tahfiz termasuk menambah baik serta memberikan latihan kepada pelajar-pelajar tahfiz.
Sementara itu, Fuziah menjelaskan, untuk tujuan tersebut juga, kerajaan akan meminda undang-undang melalui Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) (Akta 505) Pindaan kepada Seksyen 97 bagi meluaskan kuasa majlis bagi mengawal sekolah agama Islam.
“Di samping itu kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mewujudkan kaedah bagi memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sebahagian daripada definisi sekolah agama. Kerajaan juga mewujudkan bahagian pendidikan Islam di Jakim untuk menyelaras segala ehwal berkaitan pendidikan Islam termasuk sekolah tahfiz,” katanya.










