PADANG BESAR 30 Nov. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat mewujudkan Enakmen Wakaf Perlis ke arah memantapkan pengurusan dan pentadbiran di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pewujudan enakmen khas wakaf ini sejajar dengan perkembangan pembangunan wakaf di Perlis.
“Sudah tiba masanya pengurusan wakaf diperkemaskan dengan peruntukan undang-undang yang akan menjaga kepentingan pewakaf, pengurusan wakaf dan penerima manfaat wakaf”, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berangkat menyempurnakan program Kayuhan MAIPs Peduli untuk kali ke-89 bagi tahun ini yang bermula dan berakhir di Masjid Al Huda Felda Mata Ayer di sini, semalam.
Turut mengiringi baginda ialah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs, Dr. Azrul Azlen Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Pada majlis itu, turut disampaikan ceramah berkaitan kepentingan amalan berwakaf oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs, Mohd. Rizal Azizan.
Terdahulu, MAIPs melaksanakan Bengkel Perbincangan Bagi membincangkan rang undang-undang wakaf Perlis.
Dalam pada itu, MAIPs sedang giat melaksanakan promosi kutipan wakaf tunai khas bagi pembinaan Bangunan Wakaf MAIPs Pusat Perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Pembinaan bangunan wakaf yang menjadi ikon wakaf dalam bidang kesihatan ini telah mencapai sasaran 10 peratus pencapaian yang dijangkakan siap pada November 2019.
Masyarakat yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun MAIPs 09010010063983 (Bank Islam Malaysia Berhad).
Untuk maklumat lanjut sila layari www.maips.gov.my. – UTUSAN ONLINE










