SHAH ALAM 16 Nov. – Selepas cita-cita untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjaya, perwakilan Wanita PKR tidak mahu parti itu terus dibuai mimpi dengan memandang remeh segala isu pembelaan wanita.
Segala kerisauan mengenai isu-isu wanita itu dinyatakan oleh kebanyakkan perwakilan Wanita yang berbahas dalam Kongres Nasional Wanita PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Wanita PKR Selangor mencadangkan kerajaan menaikkan lagi had umur minimum perkahwinan kepada 20 tahun terutama bagi melindungi wanita muda dari segi kesihatan selain membolehkan mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.
Meskipun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu menaikkan had umur mininum perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, Ermeemarianna melihat had umur 20 tahun adalah lebih baik.
“Disebabkan terlalu muda, mereka belum cukup matang dan tidak berilmu dalam soal rumah tangga.
“Hal itu juga dilihat menjadi punca kenapa berlakunya kes keganasan rumah tangga dan penceraian dalam kalangan pasangan muda,” katanya semasa berbahas.
Wakil Sabah, Norsitifarikah Mustil pula berharap kerajaan PKR selaku parti terbesar dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melupakan wanita khususnya dari Sabah dalam soal pembangunan negara.
“Kami mahu peranan wanita diberi perhatian khususnya dari Sabah dengan diberikan peranan besar dalam organisasi parti dan juga lantikan politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










