PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan lebih lapan jam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.
Ahli Parlimen Padang Terap itu yang menaiki Mercedes-Benz berwarna putih, kelihatan meninggalkan bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 6.15 petang. Beliau datang ke ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira pukul 10 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang bekas menteri bakal ditahan SPRM hari ini dan dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.
Pada 15 November lalu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor didakwa menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan.
Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Rizal pula menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin. – Bernama










