KUALA LUMPUR 27 Nov. – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat ini berhubung projek bersepadu sistem solar untuk sekolah luar bandar Sarawak.
Menurut sumber, seorang lagi individu dipercayai ahli perniagaan akan didakwa secara berasingan pada hari sama berkaitan projek serupa.
Mahdzir dan individu terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pada Oktober lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Padang Terap itu yang juga Naib Presiden UMNO telah memberi keterangan kepada SPRM selama lima jam berhubung skandal projek solar tersebut.
Pada 16 November lalu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta rasuah melalui pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor sebanyak 15 peratus atau RM187.5 juta daripada nilai kontrak projek tersebut.
‘Permintaan’ tersebut adalah sebagai dorongan membantu syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak Holdings) mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Pengarah Urusan syarikat terbabit, Saidi Abang Samsudin sebagai upah atas ‘bantuannya’ membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.
Pada tarikh sama, Rizal didakwa atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM25.5 juta untuk dirinya sendiri serta dua pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi pihak Rosmah berjumlah RM192.5 antara Mac dan pada Disember 2016.










