KUALA TERENGGANU 23 Nov. – Kerajaan negeri menyasarkan nilai jualan sehingga RM165,000 di Pavilion Terengganu sepanjang 11 hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pada hari pertama semalam, Pavilion Terengganu dalam promosinya berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM10,000 di samping menarik hampir 1,000 pengunjung setakat pukul 7 malam, hari sama.
Katanya, pelbagai acara menarik menanti orang ramai di pavilion dua tingkat yang diperbuat daripada kayu cengal itu termasuk berpeluang melihat secara dekat penyu albino di samping menikmati hidangan tradisi tempatan antaranya nasi dagang, kerepok lekor dan buah-buahan serta produk negeri, termasuk batik.
“MAHA 2018 telah bermula semalam hingga 2 Disember depan, di jemput semua berkunjung ke Pavilion Terengganu kerana kita menyediakan pelbagai lagi pengisian untuk pengunjung.
“Berdasarkan pemerhatian, Pavilion Terengganu antara yang paling meriah dikunjungi ramai dan kita menyasarkan untuk merebut kejuaraan pavilion yang pernah diraih pada 2014,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Pavilion Terengganu juga pernah dinobatkan sebagai naib johan pavilion pada 2016. – UTUSAN ONLINE










