Lori bawa asid nitrik terbabas - Utusan Malaysia

Lori bawa asid nitrik terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Sebanyak empat tong berisi 4,000 liter asid nitrik tumpah di Jalan Bukit Pelandok, Tanah Merah dekat sini tengah hari tadi akibat sebuah lori yang membawa enam muatan itu terbabas ketika melalui satu selekoh di situ.

Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu menyebabkan permukaan jalan di lokasi berkenaan bertukar warna putih di kedua-dua arah.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lori muatan lapan tan itu dalam perjalanan dari Meru, Selangor menuju ke Lukut di sini membawa enam tong berisi 6,000 liter asid nitrik.

“Sebaik tiba di satu selekoh, lori itu tiba-tiba terbabas menyebabkan enam tong bahan kimia tersebut terjatuh di jalan raya. Empat daripadanya mengalami kebocoran.

“Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mengambil masa setengah jam untuk mengawal asid nitrik yang tumpah daripada mengalir ke sumber air. Usaha menyedut bahan kimia tersebut kemudian dijalankan oleh syarikat pemandu lori itu,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Menurutnya, kenderaan berat itu tidak mengalami kerosakan dan pemandunya yang berusia 40-an juga tidak cedera.

Beliau memaklumkan, meskipun bahan kimia dengan 70 peratus bahan titanium dioksida tidak merbahaya kepada manusia, asid berkenaan dikhuatiri menyebabkan sungai tercemar dan boleh membunuh ikan serta hidupan air lain.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi itu melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan 13 anggota termasuk Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2.

Tambahnya, operasi turut dibantu pihak polis dan Jabatan Alam Sekitar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN