PORT DICKSON 27 Nov. – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini yang terjejas selepas tebing loji berkenaan runtuh pada Khamis lalu telah beroperasi semula sepenuhnya hari ini.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sd. Bhd. (Sains), Norzita Ismail berkata, kerja-kerja penambakan dan pengukuhan tebing tersebut telah siap dilaksanakan.
“Bekalan air telah mula disambungkan di hampir 70 peratus kawasan di Port Dickson dan 90 peratus di Seremban. Keadaan akan pulih secara berperingkat-peringkat di keseluruhan kawasan.
“Walaubagaimanapun, bagi kawasan-kawasan tinggi dan di penghujung sistem retikulasi, Sains masih akan menghantar bantuan melalui lori tangki sehingga petang ini,” katanya dalm satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982.
Kira-kira 42,000 akaun pengguna air di Port Dickson dan beberapa kawasan di Seremban terputus bekalan berikutan tebing LRA Sungai Linggi runtuh pada Khamis lalu. – UTUSAN ONLINE










