KUANTAN 18 Nov. – Rondaan secara berkala akan dilakukan sepanjang musim tengkujuh yang dijangka pertengahan bulan ini hingga awal Januari depan bagi mengenal pasti lokasi yang terjejas banjir.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, rondaan itu dilakukan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan pengendali Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad di lokasi yang sering kali berlakunya banjir pada setiap tahun.
“Rondaan ini penting bagi kita menyalurkan maklumat segera kepada pengguna lebuh raya jika banjir berlaku demi keselamatan mereka.
“Selain khidmat pasukan rondaan, kita juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau lokasi yang dijangka berlakunya banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di LLM Wilayah Timur di Plaza Tol Kuantan di sini hari ini.
Yang hadir sama timbalannya, Mohd. Anuar Tahir dan Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussien.
Baru berkata, jika berlaku banjir, LLM dan Anih juga akan menubuhkan pasukan krisis bagi membantu pengguna lebuh raya berkenaan yang terjejas ekoran musibah tersebut.
“Selain itu, segala maklumat berhubung banjir boleh diketahui orang ramai menerusi laman sosial dan laman sesewang konsesi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










