SHAH ALAM – Sebuah litar lumba seluas lapan hektar akan dibina di kawasan Sungai Tua di sini bagi merancakkan bidang sukan permotoran di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pembinaan tersebut susulan kejayaan Hafizh Syahrin Abdullah yang merupakan kelahiran negeri ini mencatat sejarah sebagai pelumba MotoGP pertama negara sebaris pelumba handalan dunia seperti Marc Marquez dan Valentino Rossi.
“Pembinaan litar itu akan dilakukan melalui perkongsian awam swasta (Public Private Partnership) bagi menggalakkan pembangunan sukan permotoran di negeri ini serta penganjuran acara- acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti paddock,” katanya dalam pembentangan Belanjawan negeri 2019 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menjelaskan perbincangan akan dilakukan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi memastikan litar itu memenuhi spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan lebih besar diadakan di litar tersebut.
“Bagi memaksimakan penggunaanya, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis dan Bomba,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peruntukkan sebanyak RM12 juta akan disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
” Peruntukkan ini bagi membiayai pasukan bola sepak Selangor, pasukan bola sepak PKNS serta pasukan Selangor United yang akan bertanding di Liga Perdana buat pertama kali,” katanya. – K! ONLINE









