Lima wanita Britain buru impian F1 - Utusan Malaysia

Lima wanita Britain buru impian F1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 29 Nov. – Lima wanita Britain akan bersaing merebut tempat pada pertan­dingan lumba kereta yang membabitkan semua pemandu wanita yang dikenali sebagai Siri W.

Lima calon itu, Jamie Chadwick, Jessica Hawkins, Esmee Hawkee, Alice Po­well dan Sarah Moore akan mengambil bahagian pada pertandingan The Great Race Off dengan 55 pemandu antarabangsa akan berebut mengisi 20 tempat dalam Siri W yang bermula, musim bunga akan datang.

Seperti dilaporkan bulan lalu, Siri W menawarkan hadiah wang tunai sebanyak 1.15 juta pound (RM6 juta) dengan harapan dapat menamatkan penantian selama 40 tahun bagi melahirkan pemandu wanita dalam Formula 1 (F1).

Sejak mengumumkan pertandingan itu, penganjur Siri W telah mene­rima lebih 100 permohonan daripada 30 buah negara, dengan jumlah tersebut penilaian dibuat dan disenarai pendek.

Seramai 55 pemandu yang disenarai pendek akan menjalani beberapa siri ujian selama beberapa hari pada awal tahun depan dengan trek Eropah disahkan menjadi litar perlumbaan bagi peserta memandu kereta jalan raya dan jentera Siri W.

Mereka juga akan diuji tahap kecergasan dan maklum balas tentang teknikal. Pemandu-pemandu wanita itu akan dinilai oleh pemenang Grand Prix F1 sebanyak 13 kali, David Coulthard dan juara Le Mans dua kali, Alex Wurz, bagi memilih 18 pelumba terbaik termasuk dua pemandu simpanan.

Beberapa stesen penyiaran di Britain dan luar negara menunjukkan minat mereka bagi menyiarkan proses pemilihan tersebut.

“Peluang dan pendedahan dalam Siri W ini merupakan sesuatu yang hebat. Impian saya ialah untuk beraksi pada peringkat ter­tinggi dan berharap ia membolehkan saya mengorak selangkah lagi ke depan,” kata pemandu wanita pertama memenangi perlumbaan F3 Britain, Jamie Chadwick. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN