PUTRAJAYA 28 Nov. – Seramai lima orang tokoh menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu majlis di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Dalam majlis berkenaan, dua ahli yang baharu dilantik adalah bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Tan Weng Wah dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Asariah Mior Shaharuddin.
Sementara tiga ahli yang dilantik semula adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Ahmad Said; bekas Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Muhammad Hatta Ab. Aziz dan bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia SPRM, Rohani Kadir.
Majlis penyampaian watikah berkenaan telah disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.
Ahli-ahli Jawatankuasa Aduan berkenaan berkuatkuasa selama tiga tahun bermula 3 Oktober 2018 sehingga 3 Oktober 2021. – UTUSAN ONLINE









