Lima sekawan dituduh miliki wang palsu lebih RM1.4 juta - Utusan Malaysia

Lima sekawan dituduh miliki wang palsu lebih RM1.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Lima sekawan termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang kertas palsu bernilai lebih RM1.4 juta, tahun lalu.

Tertuduh, Azuan Miswadi Abdullah, 38, Khairul Anuar Parull, 33, Zulfikar Abd. Rahman, 32, Izzaitie Aqma Johari, 24, dan Norsuhaila Abd. Mutalib, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G.Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 3,464 keping wang kertas palsu dolar Amerika Syarikat (AS) AS$100 bernilai RM1.4 juta dan 136 keping wang palsu RM100 bernilai RM13,600 dengan niat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam, 27 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit bersalah.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan wang jaminan memandangkan kesalahan itu agak berat kerana jumlah wang palsu begitu tinggi namun, memohon wang jaminan tinggi jika mahkamah membenarkan.

Khairul Anuar, Zulfikar dan Norsuhaila dibenarkan diikat jamin RM12,000 setiap seorang dengan dua penjamin selepas masing-masing mengemukakan rayuan.

Bagaimanapun, Azuan Miswadi dan Izzaitie Aqma tidak dibenarkan berbuat demikian kerana masih menjalani hukuman penjara di Penjara Seremban dan Penjara Kajang di Selangor berkaitan kes dadah.

Kesemua mereka tidak diwakili peguam bela.

Ramesh kemudian menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Kosmo! pada 29 Disember tahun lalu melaporkan, polis Negeri Sembilan menemui wang kertas palsu tersebut selepas menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan markas pengedaran dadah di Kampung Jijan Tengah.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, selain wang palsu, polis merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 10.91 gram bernilai RM1,300 di rumah berkenaan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN