RASAH 15 Nov. – Lima tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang kertas palsu bernilai lebih RM1.4 juta, tahun lalu.
Tertuduh, Azuan Miswadi Abdullah, 38, Khairul Anuar Parull, 33, Zulfikar Abd. Rahman, 32, Izzaitie Aqma Johari, 24, dan Norsuhaila Abd. Mutalib, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G. Ramesh.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 3,464 keping wang kertas palsu dolar Amerika Syarikat (AS) AS$100 bernilai RM1.4 juta dan 136 keping wang palsu RM100 bernilai RM13,600 dengan niat menggunakannya sebagai tulen.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam, 27 Disember tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit bersalah.
Hakim kemudian menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










