KUALA LUMPUR 26 Nov. – Akhbar Utusan Malaysia dipersoalkan kerana mengeluarkan dua hari lebih awal berhubung arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meminda laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara tersebut dipersoalkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang turut mempertikaikan sama ada wajar atau tidak tindakan akhbar tersebut.
“Saya pun terkejut macam mana Utusan tahu. Adakah Utusan akan ditanya mana mereka tahu dan wajar atau tidak menyiarkan perkara itu jauh lebih awal.
“Saya rasa kena seimbanglah kerana dalam hal ini apa yang penting adalah rakyat berhak untuk mengetahui perkara yang sebenar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan Najib didakwa telah mengarahkan agar laporan asal 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara semasa itu, Tan Sri Ambrin Buang dipinda.
Akhbar tersebut memetik sumber sebagai berkata, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas Perdana Menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.
Sumber tersebut turut menyatakan kepada Utusan Malaysia bahawa Ketua Audit Negara sekarang, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad telah membentangkan laporan asal 1MDB tersebut kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan beliau mengesahkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan semalam. – UTUSAN ONLINE











