Liga Futsal Profesional sah dianjurkan tahun depan - Utusan Malaysia

Liga Futsal Profesional sah dianjurkan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Arena bola sepak negara kini memasuki dimensi baharu apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini meluluskan saingan Liga Futsal Profesional dan akan mula berlangsung tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata, dengan penganjuran liga tersebut sekali gus dapat memberikan impak kepada skuad kebangsaan termasuk merancakkan lagi industri futsal di negara ini.

Bagaimanapun katanya, beberapa perkara seperti format, strategi dan pelancaran masih dalam perbincangan dan bakal diumumkan secara rasmi dalam tempoh sebulan lagi.

“FAM sekarang telah mewujudkan satu unit yang hanya meneliti kelab futsal sahaja. Jadi apabila membentuk kelab profesional futsal, lesen kelab kena ada terlebih dahulu, bukannya kelab sudah ada baru dipaksa dapatkan lesen.

“Bagi FAM, liga ini bukan hanya memfokuskan terhadap struktur atau berapa pasukan yang berada dalam liga ini, sebaliknya mengambil kira kestabilan kelab yang akan bertanding.

“Kelab mesti mewakili sesebuah kawasan supaya kita mahu tarik penyokong datang ke stadium. Kita tak nak restoran ABC atau syarikat XYZ dalam pertandingan ini kerana sukar menarik minat penyokong.

“Jadi untuk mengkomersilkan liga ini menjadi tanggung jawab besar FAM,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan hari ini.

Baru-baru ini FAM telah mengetengahkan kepada umum pelan 12 tahun mereka menerusi pelancaran Roadmap F:30.

Futsal turut mendapat perhatian apabila FAM bercadang untuk menubuhkan Liga Futsal Profesional dan Liga Futsal Negeri yang bakal dilancarkan bermula pada tahun 2019.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN